Assalammualaikm..
Kini sudah masuk minggu terakhir Ramadan. Satu perkara yang sering diperkatakan dalam minggu terakhir Ramadan setiap tahun oleh umat Islam ialah mengenai malam al-Qadar yang sering disebut sebagai "Lailatul Qadar". Seperti mana yang dimaklumi, malam al-Qadar penuh keberkatan di sisi Allah SWT. Ia mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan dan disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Ini seperti mana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-6
yang bermaksud,
"Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar.
Apakah yang dimaksudkan malam al-Qadar itu?
"Malam al-Qadar adalah malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Turunlah
malaikat dan rohnya dengan izin Allah. Selamatlah malam itu hingga terbit fajar."
Pada umumnya sudah banyak diperjelaskan sama ada secara tulisan atau lisan (ceramah, forum, bengkel atau seminar) mengenai kelebihan, fadilat, sejarah
peristiwa dan gandaan pahala amalan ketika malam berkenaan. Ibu pun slalu nasihat mlm2 mcm ni lah rajin2 bangun malam. Namun, apa yang jelas daripada segala penerangan sama ada tulisan atau lisan, ternyata pada umumnya umat Islam tidak tahu bilakah tarikh atau masa yang tepat bagi memastikan malam al-Qadar.
Antara ketentuan yang diperakukan oleh ulama mengenai malam yang lebih baik
daripada 1,000 bulan itu kemungkinan jatuh pada tarikh berikut:
--> Pada malam 17 Ramadan; atau
--> Pada malam ganjil mulai dari 10 hari yang terakhir pada Ramadan.
Selain itu, banyak sekali hadis yang menyarankan umat Islam supaya mencari malam al-Qadar. Antara hadis yang dapat dikutip dalam kitab fikh yang memperkatakan suruhan atau amalan untuk 'menemui'malam al-Qadar menyebut:
i. Dalam Sunah, Abu Daud, Ibn Mas'ud menyatakan,"carilah malam al-Qadar pada malam 17 Ramadan...";
ii. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah,Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "carilah dengan sedaya upaya malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam yang terakhir pada Ramadan";
iii. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar,Rasulullah menyebut, "Saya melihat mimpimu bersepakat menetapkan bahawa Lailatul Qadar pada tujuh malam terakhir. Maka sesiapa yang hendak mencari Lailatul Qadar, carilah pada malam tujuh yang terakhir";
iv. Diriwayatkan oleh Muslim dari Ibn Umar, Rasulullah bersabda, "Carilah
Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir, jika seseorang kamu mencari maka janganlah kamu kalah dalam mencari pada tujuh malam terakhir"; dan
v. Bagi al-Qurtubi, seorang ulama menyatakan bahawa,jumhur ulama berpendapat
bahawa Lailatul Qadar adalah pada malam 27 Ramadan.Ini berdasarkan Rasulullah SAW bersabda, malam al-Qadar adalah malam 27 Ramadan".
Berdasarkan maksud hadis itu ternyata tidak disebutkan dengan jelas tarikh
Lailatul Qadar yang tepat. Apakah hikmah di sebalik rahsia tarikh atau masa sebenar Lailatul Qadar?
Menurut Prof Dr T M Hasbi Ash Shiddeqy dalam bukunya Pedoman Puasa, beberapa ulama sependapat bahawa tarikh berkenaan dirahsiakan supaya umat Islam benar-benar
beriman, bertaqwa dan ikhlas beribadat serta berusaha untuk mendapatkannya.
Selain itu, dalam konteks yang sama beberapa ulama Salaf memberi beberapa pandangan mengenai hikmah merahsiakan beberapa urusan agama kerana ada kebaikan
dan kepentingan di sebaliknya. Antaranya adalah:
- Allah menyembunyikan Lailatul Qadar dalam beberapa malam supaya kita menghidupkan malam-malam itu dengan ibadat dan amalan;
- Allah menyembunyikan saat 'ijabah' (saat doa dimakbulkan Allah) pada Jumaat supaya kita sentiasa berdoa sepanjang hari;
- Allah menyembunyikan amalan maksiat yang paling dikutuk atau dibenci bagi memastikan supaya kita menghindari segala maksiat;
- Allah menyembunyikan waktu kedatangan kiamat supaya kita sentiasa beringat,berwaspada dan sentiasa beriman, bertakwa dan beramal baik; dan
- Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita sentiasa beramal dan taat kepadaNya.
Semoga pada tahun ini, Allah akan memberikan kita kekuatan untuk melakukan ibadat dalam usaha kita menemui malam yang telah disebutkanNya sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Insya-Allah.
^_^